Sunday, 8 September 2013
Pembentukan Negara Bangsa Malaysia Bertitik Tolak Pembentukkan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu
Pembentukan Negara bangsa Malaysia yang berbina kini bertitik tolak daripada pembentukkan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ialah sebuah Sistem Persekutuan untuk Empat Negeri di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Pahang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Sistem ini dilaksanakan oleh pihak British pada tahun 1895 [1] dan ia bertahan sehingga tahun 1946, apabila ia bersama-sama dengan Negeri-negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu digabungkan bagi membentuk Malayan Union.
Namun Dua tahun kemudian, Malayan Union dibatalkan dan Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan. Akhirnya pada tahun 1963, Malaysia diasaskan dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura.
Ibu kota Persekutuan ialah Kuala Lumpur yang ketika itu merupakan sebahagian daripada Selangor semasa dibawah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dikekalkan dan Residen Jeneral pertamanya ialah Sir Frank Swettenham [2].
TITIK TOLAK PENENTANGAN MALAYAN UNION.
Pemimpin-pemimpin Melayu dan pesara-pesara British daripada Perkhidmatan Awam di Tanah Melayu telah mengetuai bidasan terhadap rancangan Malayan Union, dan membidas MacMichael kerana menggunakan 'ugutan' untuk memperolehi persetujuan daripada Raja-Raja Melayu. Pegawai-pegawai ini bertindak melobi Tanah Melayu di Parlimen antara bekas pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Tanah Melayu yang mengambil bahagian adalah Sir Frank Swettenham, Sir George Maxwell, Sir R. O. W. Winstedt, Sir Cecil Clementi dan Sir Laurence Guillemard.
Mereka turut menulis surat-surat kepada akhbar nasional dan untuk merayu kepada Perdana Menteri United Kingdom agar menghentikan usaha menukar status Tanah Melayu daripada negeri naungan kepada Tanah Jajahan.
Tindakan tentangan dibuat kerana sepanjang Sir Frank Swettenham, Sir George Maxwell, Sir R. O. W. Winstedt, Sir Cecil Clementi dan Sir Laurence Guillemard menjadi pegawai di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Mereka telah melihat dengan jelas betapa Raja-Raja Melayu dan Pembesar Negeri telah memainkan peranan yang sangat berkesan didalam pentadbiran negeri.
Dengan sokongan daripada pegawai british ini jua telah memperlihatkan sekalian rakyat berbilang bangsa didalam Negeri-negeri Melayu yang selama ini terpisah dan tidak bersatu, telah bangun berganding bahu bersama Raja-Raja Melayu dan Pemimpin Masyarakat Melayu serta rakyat bergabung menentang Malayan Union. Satu sejarah yang tidak pernah terjadi di Tanah Melayu sebelumnya.
Kesentosaan dan peranan yang di bawa oleh Raja-Raja Melayu telah memberikan satu kepercayaan kepada Pegawai British didalam memberikan sokongan kepada penentangan Malayan Union. Ini boleh dilihat sepanjang British mentadbir Negeri-Negeri Melayu Bersekutu di mana Raja-Raja Melayu telah memperlihatkan watak seorang pemerintah yang adil saksama dan berilmu pengetahuan yang luas.
SUMBANGAN RAJA-RAJA MELAYU DI AMBANG KEMERDEKAAN.
Pada tahun 1895, dengan persetujuan Sultan-sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, keempat-empat buah negeri itu dijadikan sebuah persekutuan negeri-negeri dinamakan 'Negeri-Negeri Melayu Bersekutu' [3]. Mesyuarat Majlis Raja-Raja [4] yang pertama kali yang diadakan di astana Negara, Kuala Kangsar merupakan satu perkara yang penting kepada kita semua kerana, di sinilah bermulanya permuafakatan di antara semua Raja-Raja Melayu yang memegang amanah orang-orang Melayu dengan hasrat menyatupadukan dan mempertahan hak dan kedaulatan orang-orang Melayu malah menyuarakannya kepada pihak British ketika itu.
Tanggal 13 Julai 1897, adalah tarikh perjumpaan pertama yang hanya melibatkan raja-raja Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu. Namun bertitik tolak dari sini lah terbina batu asas yang membawa seterusnya kepada pembentukan negara kita Malaysia kini.
Durbar pertama berlangsung selama empat hari dan dihadiri oleh Paduka Sri Sultan Abdul Samad dari Selangor dan Yam Tuan Muhammad dari Negeri Sembilan, Kebawah Duli Sultan Ahmad dari Pahang dan Paduka Sri Sultan Idris Murshidul'adzam Shah dari Perak selaku tuan rumah. Manakala pihak British pula diwakili oleh Sir Charles Mitchell (Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Frank Swettenham (Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Hugh Clifford (Residen British di Pahang), J.P. Rodger (Residen British di Selangor) dan W.H. Treacher (Residen British di Perak). Negeri Sembilan tidak mempunyai wakil dari pihak British. Paduka Sri Sultan Abdul Samad dari Selangor yang telah terlalu uzur telah berangkat dari Jugra untuk memastikan mesyuarat tersebut walaupun jarak perjalanan terlalu jauh.
Sultan Idris Murshidul'Adzam Shah Ibni Raja Bendahara Alang Iskandar merupakan seorang Raja bijak didalam melancarkan pentadbiran dan baginda jua yang pernah mengalas amanah semasa perselisihan di antara Sultan Abdullah Muhammad Shah II dengan Residen British J.W.W. Birch, baginda menjadi ketua rombongan perwakilan yang membawa surat daripada Sultan Abdullah Muhammad Shah II kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir Andrew Clarke. Pada tahun yang sama, baginda telah dilantik oleh Sultan Abdullah Muhammad Shah II menjadi hakim, dan kemudian menjadi hakim besar [5]. Semasa era pemerintahan Sultan Idris Murshidul'Adzam Shah antara kemajuan negeri menyerlah dengan pembinaan jalan raya dari Kuala Kangsar ke Kuala Lumpur.
Semasa Durbar kedua diadakan pada tahun 1903 di Kuala Lumpur Sultan Idris dengan berani menyuarakan dan menggesa pihak British agar lebih ramai orang Melayu dilantik untuk berkhidmat dengan kerajaan dan mereka ini dilantik ke jawatan yang lebih tinggi. Betapa jauh pandangan Sultan Idris yang meminta supaya pentadbiran Tanah Melayu ketika itu, turut dikongsi oleh anak bangsanya sendiri, menjelaskan pelaksanaan amanah oleh Majlis Raja-Raja bagi pihak orang-orang Melayu ketika itu.
Raja Alang Iskandar ibni Almarhum Sultan Idris Murshidul'Adzam Shah menyertai pasukan polis Pada tahun 1906 dan tidak berapa lama kemudian telah dilantik menjadi Penolong Pesuruhjaya Polis di Kuala Lumpur. Baginda juga merupakan seorang ahli pasukan polo Negeri Selangor dan pasukan polo Negeri-Negeri Melayu Bersekutu [6].
Sultan Alang Iskandar Shah, Yam Tuan Besar - Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah (Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan), Raja Sir Chulan (Waris Negeri Perak) dan Dato Abdullah Haji Dahan (Undang Luak Rembau) telah menggesa Kerajaan Kolonial British untuk menubuhkan satu rejimen tentera yang dianggotai oleh orang-orang tempatan [7].
Sultan Alang Iskandar telah mendesakkan bahawa kuasa pentadbiran yang sejak penubuhannya dipegang oleh pegawai Inggeris, khususnya Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, telah dirombak mengikut sistem desentralisasi dan pangkat-pangkatnya dibahagikan semula kepada semua Sultan mahupun Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Melayu itu.
Baginda pernah membawa desakan baginda semasa berangkat ke England serta mengemukakannya kepada Setiausaha Negara Bagi Tanah-Tanah Jajahan British di London, dan berjaya memperolehi kelulusan dan restu Setiausaha Negara itu. Dengan rayuan baginda kepada pihak Kerajaan Inggeris, daerah Dindings dan Pulau Pangkor (sekarang dinamakan daerah Manjung) yang telah diberikan kepada Kompeni Inggeris dalam tahun 1826, diserahkan balik kepada Kerajaan Negeri Perak pada tahun 1935. Ketika pemerintahan Almarhum, negeri Perak sedang berada dikemuncak kegemilangan dan ketika itu jualah banyak perkara-perkara penting telah berlaku seperti contoh pembukaan Jambatan Iskandar serta pembinaan Istana Iskandariah. Di samping Almarhum diakui sebagai seorang sultan yang menghabiskan masa pemerintahannya untuk kepentingan rakyat, Almarhum Sultan Iskandar juga adalah yang alim dan sangat mengambil berat akan hal agama. Ini terbukti apabila dalam tahun 1921, Almarhum telah mengarang dan menerbitkan sebuah tulisan yang berupa sebuah kitab agama yang diberi nama Risalah Iskandar Shah [8].
Jika kita menatap seluruh isi kandungan dan tulisan Almarhum ini, kita akan dapat merasakan betapa mulia dan besarnya hasrat Almarhum untuk mengembangkan syiar Islam dan menghayati ajarannya. Sebagai bukti, marilah kita meneliti beberapa petikan yang disebut dari kitab Almarhum itu. Di muka surat dua Risalah itu, Almarhum Sultan Iskandar dengan menggunakan ganti nama Faqir menulis: “Wahai sekelian saudara-saudara ku lelaki dan perempuan dengarlah perkataan Faqir yang tidak sepertinya ini, mudah-mudahan akan menjadi kenangan-kenangan saudaraku sekalian kepada Faqir terutama sekali masa hilang hayat Faqir di belakang hari dan tiada sekali niat Faqir dengan bermegah – megah ataupun dengan menunjukkan kepandaian melainkan hanya Faqir berserah dan berpegang semata-mata pada Tuhan kita“ Seorang sultan yang sangat rendah hati. Ini terbukti dengan titah Almarhum di dalam Risalah tersebut di muka surat tiga: "apalah gunanya kita bermegah-megah dengan bangsa kita, asal kita daripada tanah, kejadian kita daripada benda yang cemar dan keluar kita daripada tempat yang kotor kemudian kembali kita kepada tanah".
Raja Sir Chulan Ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II merupakan Putera Melayu Pertama yang menyertai perkhidmatan dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu [9]. Bertitik tolak dari ini lah maka orang melayu dapat menyertai perkhidmatan awam hingga terbinanya Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang menjadi peneraju didalam sektor awam pada hari ini. Beliau merupakan tokoh yang bertanggungjawab untuk membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang terdiri daripada negeri Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan pada 1 Julai 1896.
Sultan Ala'uddin Suleiman Shah ibni Almahum Raja Muda Musa [10] merupakan seorang yang tidak kurang hebatnya didalam memberikan sumbangan ini dapat dijelaskan takkala baginda telah mengarang dua buah buku agama dan baginda jua telah mengesa pembelian kapal terbang perang semasa majlis raja-raja pada tahun 1936.
Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Baginda sentiasa menjelajah ke seluruh pelusuk negeri, daerah, kampung- kampung untuk bersama-sama dengan rakyat jelata. Baginda juga turut menyokong proses untuk mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu pada ketika itu. Ketika pemerintahan Baginda jugalah telah lahir ramai pendekar-pendekar yang handal di negeri Pahang. Semasa penjajahan Jepun dalam tahun 1941 hingga tahun 1945, Al-Marhum telah bersetuju dengan secara sulit supaya orang-orang Melayu dalam negeri ini menubuhkan Pasukan Tentera Wataniah yang dikenali dengan nama 'Pasukan 136' yang ketika itu diketuai oleh Yoep Mahidin, Tun Haji Abdul Razak Hussain, Tan Sri Ghazalie Shafie dan Abdul Rahman Ismail.
Peranan yang dimainkan oleh baginda dalam menghadapi jajahan Tentera Jepun di Pahang telah membuktikan kewibawaan baginda sebagai Raja yang berdaulat. Peristiwa di mana Baginda ditahan selama 27 hari di Ladang Getah Ng Tiong Kiat, Sungai Jerik (17 Ogos 1945 - 9 September 1945) menjadi natijah kecekapan, kecekalan, kesabaran dan kewibawaan Baginda dalam mengatasi saat-saat yang sangat kritikal. Kejadian tersebut telah menggemparkan masyarakat Pahang pada ketika itu.
KRONOLOGI PEMBENTUKKAN NEGARA BANGSA RAJA BERPERLEMBAGAAN DEMOKRASI BERPARLIMEN [11].
1867 - Majlis Perundangan Negeri-Negeri Selat ditubuhkan berikutan perpindahan pentadbiran Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Singapura dan Melaka) dari Syarikat Hindia Timur Inggeris ke Pejabat Kolonial. Majlis Perundangan tersebut merupakan institusi pertama di negara yang mengadakan perbahasan dan perbincangan seperti ciri-ciri Parlimen moden
1896 - Negeri-negeri Melayu iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan membentuk satu gabungan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Perkembangan ini merintis jalan ke arah pembentukan satu sistem Kerajaan Persekutuan bagi seluruh negara seperti yang ada sekarang. Badan Perundangan Pusat masih belum wujud dan setiap negeri bergantung kepada Dewan Undangan Negeri masing-masing untuk membuat undang-undang.
1909 - Majlis Mesyuarat Persekutuan (Federal Council) bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dibentuk dengan pemusatan kuasa perundangan mengikut asas-asas Parlimen. Majlis ini mempunyai 13 orang ahli yang dilantik termasuk Raja keempat-empat Negeri Melayu Bersekutu, Residen Jeneral British, keempat-empat Residen British serta empat orang ahli tidak rasmi. Penubuhan Majlis ini merupakan satu langkah ke arah pemerintahan sistem demokrasi berparlimen.
1927 - Raja-Raja Negeri Melayu Bersekutu berhenti menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan. Penyusunan semula Majlis Mesyuarat Persekutuan ini turut mengubah keanggotaannya menjadi 13 orang ahli rasmi dan 11 orang ahli tidak rasmi. Majlis tersebut merupakan satu-satunya badan yang dilantik sepenuhnya sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua pada Disember 1941.
1946 - Sebuah Majlis Penasihat (Advisory Council) dibentuk dan dianggotai oleh 13 orang ahli mewakili Negeri-Negeri Melayu dan dua buah Negeri Selat - Melaka dan Pulau Pinang.British cuba menyatukan ketiga-tiga sistem pentadbiran (Negeri Melayu Bersekutu, Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Negeri Selat - Pulau Pinang dan Melaka) melalui rancangan Kesatuan Malaya (Malayan Union).
Malayan Union ditentang hebat terutama oleh orang-orang Melayu yang dipimpin oleh Dato' Onn Jaafar, Yang Dipertua UMNO ketika itu. Malayan Union ditentang kerana diyakini akan menggugat kedaulatan Raja-Raja Melayu.
KESIMPULAN
Bahawasanya terbitnya mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan telah lama subur semasa buat pertama kalinya pada tahun 1895, dengan persetujuan Paduka Seri Sultan Perak, Paduka Sri Sultan Selangor, Kebawah Duli Sultan Pahang dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, keempat-empat buah negeri dijadikan sebuah persekutuan negeri-negeri dinamakan 'Negeri-Negeri Melayu Bersekutu'[12]. Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan didalam persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 [13] itu ialah:
1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
4. Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.
5. Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).
Peranan dan Sumbangan Raja-Raja Melayu didalam pembentukkan negara bangsa bertitik tolak pada 13 Julai 1897, tarikh perjumpaan pertama yang hanya melibatkan raja-raja Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu.
Perjumpaan ini diadakan di Istana Negara, Kuala Kangsar, Perak. Kesan dari Durbar juga memperlihatkan peranan Raja-Raja sebagai pelindung dan penjaga hak dan kedaulatan orang Melayu ketika itu. Dari Durbar jugalah idea, cadangan dan suara-suara bangsa bagi mempertingkatkan taraf hidup dan status ekonomi bangsa Melayu diutarakan. Idea asal penubuhan Askar Melayu Diraja dan Kolej Melayu Kuala Kangsar juga bermula dari sini. Selain itu, penekanan soal agama Islam dan bahasa Melayu turut diperjuangkan oleh Raja-Raja Melayu di ruang yang ada dalam Durbar ini.
Selepas perit getir dalam perjuangan menuntut kemerdekaan ditempuhi, tanggal 5 Ogos 1957, termeterailah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, maka pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu diberi kemerdekaan. Namun, bukan sekadar perjanjian yang terpahat dalam lipatan sejarah pada tarikh keramat itu, satu perkara yang perlu diingati semua rakyat Malaysia ialah bersama perjanjian tersebut, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu turut diperkenan oleh kesemua Raja-Raja Melayu untuk dijadikan asas urus tadbir negara.
Hakikatnya terlalu banyak sumbangan yang telah dimainkan oleh sembilan (9) Raja Raja Melayu didalam memastikan kemerdekaan Negara dapat direalisasikan dengan rahmat Yang Maha Esa. Yang diberikan contoh sumbangan Raja-Raja Melayu itu hanyalah sekadar 5 % sahaja masih terdapat 95 % lagi yang belum dihuraikan di sini. Insyallah akan dihuraikan 95 % sumbangan Raja-Raja Melayu demi kesejahteraan dan keamanan negara didalam mencapai Kemerdekaan.
Nota Kaki:-
[1] Negeri-negeri Melayu Bersekutu ialah sebuah sistem persekutuan untuk empat negeri Semenanjung Tanah Melayu iaitu Pahang, Perak, Selangor, danNegeri Sembilan. Sistem ini dilaksanakan oleh pihak British pada tahun 1895dan ia bertahan sehingga tahun 1946, apabila ia bersama-sama dengan Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu digabungkan bagi membentuk Malayan Union. Dua tahun kemudian, Malayan Union dibatalkan dan Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan. Akhirnya pada tahun 1963,Malaysia diasaskan dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura.
[ http://ms.wikipedia.org/wiki/Negeri-negeri_Melayu_Bersekutu]
[2] Sir Frank Athelstane Swettenham (1850 - 11 Jun 1946) ialah Residen-Jeneral pertama untuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (kini sebahagian Malaysia) antara 1 Julai 1896hingga 1901. Beliau merupakan salah satu daripada hampir empat puluh orang pegawaiEmpayar British yang menentangi Malayan Union.
[3] Persekutuan ini telah ditubuhkan dengan rasminya pada 1 Julai 1896, dan Majlis Raja-Raja keempat-empat buah negeri ini disebut 'DURBAR'. Pengerusinya ialah Sir Charles Mitchell, Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu serta Gabenor Negeri-Negeri Selat. Majlis 'DURBAR' yang pertama telah diadakan di Istana Negara, istana rasmi baginda di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada bulan Julai 1897.
[4] Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ini dipanggil ‘Durbar', yang diambil daripada perkataan Urdu-Parsi (Darbar membawa maksud istana raja), ia juga membawa maksud perjumpaan atau persidangan umum yang diadakan oleh raja negeri berkenaan, ataupun Gabenor atau Wizurai British di India.
[5]http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Idris_Murshidul_Aadzam_Shah
[6] Selepas menjadi Sultan Perak pun baginda masih merupakan pemain polo yang handal dan menubuhkan satu pasukan polo Negeri Perak di Kuala Kangsar. Dalam Pasukan Volunteer Infantry iaitu cawangan Pasukan Federated Malay States Volunteer Force (atau singkatnya F.M.S.V.F.), berpangkat Kolonel, manakala di dalam Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu, baginda berpangkat 'Honorary Inspector General'. [ http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Iskandar_Shah]
[7] Pada 23 November 1932, Jabatan Perang British memberikan persetujuan untuk penubuhan satu pasukan Askar Melayu sebagai saturejimen tempatan dalam Angkatan Tentera British (Rejimen ini dilatih dan diurus oleh Rejimen Tentera British Malaya). Pada 23 Januari 1933, Majlis Perundingan Persekutuan (Federal Consultative Council) telah meluluskan Akta No. 11 yang dikenali dengan nama Akta Rejimen Askar Melayu dan meluluskan peruntukan $70,000 bagi pembelian Kong Sang Rubber Estate di Port Dickson untuk tapak bagi kegunaan sebagai Pusat Latihan Rekrut Askar Melayu. Pasukan Askar Melayu bermula dengan penubuhan Kompeni Percubaan Pertama (1st Experimental Company) pada tahun 1933 dan merupakan titik permulaan pasukan tentera anak watan di Tanah Melayu.
[8] http://sembangkuala.wordpress.com/2012/02/05/dalam-kenangan-risalah-iskandar-shah-bah-1/
[9] http://ku-alam.blogspot.com/2012/11/dyam-raja-di-hilir-perak-raja-sir.html
[10] http://wangsamahkota.wordpress.com/2010/06/13/cebisan-riwayat-almarhum-sultan-suleiman-shah-sultan-yang-mengasihi-ulama/
[11] http://www.parlimen.gov.my/maklumat-umum.html?uweb=dr&_print=true
[12] Persekutuan ini telah ditubuhkan dengan rasminya pada 1 Julai 1896, dan Majlis Raja-Raja keempat-empat buah negeri ini disebut 'DURBAR'. Pengerusinya ialah Sir Charles Mitchell, Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu serta Gabenor Negeri-Negeri Selat. Majlis 'DURBAR' yang pertama telah diadakan di Istana Negara, istana rasmi baginda di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada bulan Julai 1897.
Alfatihah, OBJ Larut,Matang & Selama Dato Seri Wan Isa telah kembali ke Rahmatullah awal subuh tadi.
Penduduk boleh ziarah ke atas jenazah Almarhum di rumah Kediaman Rasmi,Jalan Kota,berhadapan Bangunan LHDN,Taiping.
Bagi pihak DS Nizar dan Pas Kawasan Bukit Gantang, mengucapkan salam takziah, kepada isteri dan kaum keluarga almarhum DS Wan Isa,semoga roh almarhum ditempatkan bersama orang soleh dan beriman.
Bagi pihak DS Nizar dan Pas Kawasan Bukit Gantang, mengucapkan salam takziah, kepada isteri dan kaum keluarga almarhum DS Wan Isa,semoga roh almarhum ditempatkan bersama orang soleh dan beriman.
Muzium Bersama Komuniti Muzium Perak
- Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bercadang menjadikan bandar Taiping yang kaya dengan pelbagai produk pelancongan termasuk bangunan-bangunan warisan sebagai Bandar Bersejarah.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, untuk tujuan itu, pihaknya akan berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, perbincangan perlu dilakukan segera memandangkan ada di antara bangunan lama tersebut tidak diurus dengan baik.

"Selain itu saya bimbang kalau kita tidak jadikan bangunan ini sebagai ikon, mungkin satu masa nanti bangunan itu akan diruntuhkan dan dibangunkan dengan pembangunan lain.
"Bila berlaku begitu, kita akan hilang segala khazanah yang ada. Oleh itu saya berhajat untuk berunding dengan Menteri Besar (Zambry) jadikan Taiping sebagai Bandar Bersejarah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Muzium Taiping sempena program bersama komuniti di sini hari ini.
Program dua hari berakhir esok itu turut menempatkan 47 gerai pameran melibatkan produk pelancongan, kesihatan dan kraftangan selain persembahan kebudayaan seperti wayang kulit, dikir barat dan pancaragam sekolah.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail.

Tambah Mohamed Nazri, selain menjadikan khazanah-khazanah tersebut sebagai warisan, produk tersebut juga akan dinaik taraf sebagai ikon pelancongan negeri termasuk Muzium Taiping.
"Taiping ada pelbagai produk seperti zoo, taman bunga dan landasan kereta api yang pertama di Kuala Sepetang serta muzium. Semua produk ini boleh dijadikan aset untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri Perak," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai lawatannya, beliau berkata, pihaknya akan mengkaji bentuk penambahbaikan yang perlu dilakukan serta peruntukan yang diperlukan pihak terlibat.
"Saya amat kagum dengan artifak-artifak yang ada di sini. Sebelum datang saya bayangkan ada tempat yang kosong kerana tak ada artifak tapi ternyata sangkaan saya meleset.
"Daripada taklimat yang diberi, pihak muzium mempunyai lebih 400,000 artifak dan tidak boleh dipamerkan semua justeru, saya minta mereka buat permohonan dan kita usaha untuk dapatkan peruntukan bagi penambahbaikan," katanya.
kesultanan berlainan warisan acheh dan siak
Ziarah Makam Lama 8 : Makam Dua Sultan Perak Berlainan Warisan
Tidak jauh dari makam Syed Hussain Yamani ), terdapat sebuah lagi kepuk makam lama milik dua orang sultan pemerintah Perak. Kedudukan makam ini juga berhampiran dengan rumah penduduk kampung. Setelah melihat bangunan kepuk makam, saya tidak terus singgah sebaliknya terus menunggang motosikal saya ke depan. Sungai Perak yang mengalir perlahan di sebelah kiri jalan berserta rumah-rumah kayu tradisi yang masih utuh di kampung Pulau Tiga ini benar-benar membuatkan saya merasa teruja. Terasa tenang disini. Udara petang membuatkan perjalanan menjadi mudah dan lancar.
Hidayat di belakang diam dan bungkam. Mungkin pelik dengan sikap saya. Di tepi jalan kelihatan sebuah rumah kayu lama yang begitu unik. Saya berkeyakinan rumah tua ini sudah melebihi 100 tahun usianya. Dilihat dari keadaannya saya yakin ia sudah tidak lagi diduduki. Binaannya masih kukuh dan utuh melawan cuaca. Jika dilihat dari bentuknya, rumah tua ini kelihatannya seperti rumah Kutai yang menjadi rumah tradisi Perak.Melalui jalan kampung di pesisir sungai Perak
benar-benar mengujakan !
Rumah kayu lama yang menarik perhatian
Hasil maklumat dari blog Kampong Pulau Tiga, rumah ini adalah milik seorang pembesar negeri Perak yang dikenal sebagai Tok Paduka Raja. Sesuatu yang pasti terdapat beberapa ciri yang berbeza antara rumah tradisi ini dengan rumah kutai Perak. Antaranya ialah tiadanya motif hiasan kepala cicak di bucu atapnya. Dikatakan asal usul rumah Kutai di Perak mempunyai kaitan yang amat erat dengan kemasukan budaya Acheh dan Bugis yang sekian lama berakar dalam struktur masyarakat tradisional Perak. Hal ini juga dapat dilihat melalui beberapa kesamaan antara rumah Kutai dan rumah adat Acheh dan Bugis.
Namun untuk rumah ini saya lebih kuat menyatakan ia juga agak terpengaruh dengan senibina rumah tradisi yang banyak terdapat di kepulauan Riau termasuk Kampar. Riau juga dihuni oleh orang-orang Bugis dan tidak mustahil apabila mereka merantau ke Perak, corak binaan rumah tradisi Riau ini telah dibawa bersama dan disesuaikan dengan gaya setempat dan gaya Acheh / Bugis. Itu hanyalah telahan saya sahaja berdasarkan pandangan awal. Mungkin ia jauh menyimpang dan hanya Allah SWT sahaja yang maha mengetahui.
Setelah mengambil gambar rumah tua ini barulah saya bergerak menuju ke kawasan kepuk makam yang menempatkan makam dua orang sultan pemerintah negeri Perak. Matahari petang yang menyinar bagaikan tidak terasa disini kerana makam ini terletak di bawah teduhan pohon-pohon yang merendang. Terasa agak dingin apabila semakin menghampiri kawasan kepuk makan. Kepuk makam terletak berhampiran dengan rumah penduduk kampung dan tidak jauh juga dari aliran sungai Perak.
Bangunan kepuk makam dua orang sultan berlainan warisan
Kepuk makam ini menempatkan makam sultan Perak ke-8 iaitu Almarhum Sultan Mahmud Shah Ibni Almarhum Sultan Mansur Shah yang memerintah dari tahun 1627 hingga 1630 dan makam sultan Perak ke-14 iaitu Almarhum Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Yang Dipertuan Muda Raja Mansor yang memerintah dari tahun 1744 sehingga 1750. Selang masa pemerintahan antara kedua-dua orang sultan Perak ini ialah 114 tahun.
Walaupun kedua-kedua sultan ini berjaya menaiki takhta kerajaan negeri Perak namun terdapat perbezaan benih warisan yang jelas dalam diri baginda berdua. Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Mansur Shah adalah dari benih warisan kesultanan Melayu Melaka yang tulen dari belah pihak lelaki menerusi Sultan Perak yang pertama iaitu Sultan Muzaffar Shah I. Manakala Sultan Muhammad Shah Ibni Raja Mansor pula adalah merupakan benih warisan dari kesultanan Siak lama menerusi sultan Perak ke-10 iaitu Sultan Muzaffar Shah II. Namun demikian, Sultan Muhammad Shah ini masih dianggap sebagai waris Melaka dari belah pihak perempuan.
Kepuk Makam Yang Redup
Tiada makam lain yang terdapat di dalam kepuk ini melainkan makam kedua-dua orang sultan ini sahaja. Batu nisan kedua-dua buah makam ini sama sahaja dengan batu nisan makam-makam sultan Perak yang pernah saya ziarahi sebelum ini. Saya merasa bangga kerana penduduk kampung Pulau Tiga ini menjaga dengan baik makam kedua-dua orang sultan ini. Papan tanda penerangan berkaitan dengan almarhum berdua kelihatannya masih kukuh dan jelas untuk dibaca walaupun dimamah masa.
Hidayat di hadapan kawasan makam
Setelah berada di dalam kepuk makam, saya mengarahkan Hidayat untuk membersihkan sedikit kawasan makam dari daun-daun kering. Suasana makam yang redup benar-benar mendamaikan. Dari atas kepuk makam, saya dapat melihat arus sungai Perak yang tenang itu. Saya memegang batu nisan di kedua-dua makam ini dengan berhati-hati. Balutan kain kuning di makam ini agak berbeza dari makam-makam yang pernah saya ziarahi. Biasanya kain kuning pada batu nisan makam sultan-sultan Perak hanya diikat pada hujung kepala batu nisan dengan menggunakan tali atau kain dari tiga warna asas bendera negeri Perak. Namun batu nisan di kedua-dua makam ini dibalut kemas dengan kain kuning pada keseluruhannya. Pasti masih ada waris keturunan baginda berdua yang masih menjaga makam ini.
Balutan kain kuning yang unik pada kedua-dua pasang
batu nisan makam
Saya sebenarnya sudah mengetahui bahawa terdapat begitu banyak cabang warisan di dalam sejarah kesultanan Perak. Penaklukan kuasa-kuasa luar seperti Acheh ke atas Perak sebenarnya memberi kesan yang besar di dalam pelantikan sultan-sultan di negeri Perak. Sebab itulah apabila sahaja saya sampai ke kepuk makam ini saya dapat merasakan bagaikan ada suatu perkaitan yang sangat jelas antara baginda berdua walaupun selang masa pemerintahannya mengambil masa satu abad lebih. Namun demikian, saya tidak dapat merungkaikan persamaan itu di makam ini. Puas saya cuba mencari persamaan itu sewaktu ziarah ini namun ia tidak dapat diselesaikan. Hanya selepas melakukan kunjungan ziarah kali kedua barulah saya mula dapat mencari persamaannya iaitu tidak lain dan tidak bukan .... ACHEH dan MUZAFFAR!.
Pengaruh Acheh dan Keturunan Dua Muzaffar
Umum mengetahui bahawa kuasa kesultanan Acheh keatas kesultanan Perak sangatlah kuat sedari pemerintahan sultan kedua Perak iaitu Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Muzaffar Shah I lagi. Namun demikian, uniknya walaupun sudah menguasai kesultanan Perak, Acheh sebenarnya sangat menjaga benih warisan Melaka yang menjadi sultan-sultan pemerintah Perak. Hal ini jelas kelihatan menerusi perlantikan sultan-sultan pemerintah Perak bermula dari sultan ketiga sehinggalah sultan ke-10 pasti berkait rapat dengan kuasa Acheh.
Sultan Mahmud Shah ialah cicit kepada sultan Perak pertama iaitu Sultan Muzaffar Shah I. Nama asal baginda ialah Raja Yusuf atau Raja Bongsu. Baginda telah dilarikan ke Acheh sewaktu Acheh mengalahkan Perak semasa pemerintahan Sultan Mukaddam Shah ( sultan Perak ke-6 ). Jika dilihat kepada hieraki warisan Melaka di dalam kesultanan Perak pada ketika itu jelas hanya baginda sahaja yang masih ada bagi menyambung legasi Melaka ( laman Royal Ark * menyatakan baginda adalah warisan Melaka dari sebelah pihak perempuan ). Namun nama yang tertera pada papan tanda makam ialah menunjukkan baginda adalah anakanda kepada sultan Perak kedua ( benih Melaka dari pihak lelaki ) ataupun baginda ialah cucunda kepada Sultan Muzaffar Shah I. Hal ini amat-amat mengelirukan dan saya lebih selesa memilih baginda adalah dari benih keturunan Melaka dari pihak lelaki.
Justeru itu, selepas kemangkatan sultan Perak ke-7 iaitu Sultan Mansur Shah II ( ada juga versi lain yang menyatakan baginda diturunkan dari takhta ) di Acheh, pihak Acheh telah menghantar baginda ( Raja Yusuf / Raja Bongsu ) bersama dengan beberapa orang pembesar Acheh bagi menjadi sultan Perak ke-8 dengan gelar Sultan Mahmud Shah. Saya juga agak tertarik dengan gelaran yang digunakan oleh baginda. Agak hairan juga kenapa baginda tidak sahaja menggunakan nama baginda yang sebenar iaitu Yusuf sebagai gelar sultan ? ... setelah saya fikirkan secara mendalam barulah saya sedari, baginda ialah merupakan generasi pewaris kepada Sultan Mahmud Shah iaitu sultan Melaka yang terakhir. Tidak mustahil baginda menggunakan gelar nama Mahmud itu bagi menunjukkan bahawa baginda adalah benih keturunan warisan Melaka yang sah. Wallahualambisawab.
Baginda hanya memerintah selama tiga tahun sahaja iaitu dari tahun 1627 sehingga 1670. Baginda mangkat di suatu tempat yang dikenali sebagai Geronggong ( juga menjadi tempat baginda bersemayam ). Baginda dimakamkan di suatu tempat bernama Kampung Tok Melor sebelum makamnya dipindahkan ke kawasan pemakaman Sultan Muhammad Shah di Kampung Pulau Tiga ini. Baginda digelar Marhum Pulau Tiga.
Sungai Perak dari arah makam
Selepas kemangkatan baginda, puteranya yang bernama Raja Kobat telah dilantik menjadi sultan Perak ke-9 dengan gelar Sultan Sallehuddin Shah. Saya tidak pula menjumpai data yang menyatakan baginda ditabalkan oleh Acheh ataupun oleh pembesar-pembesar Perak sendiri. Namun sesuatu yang pasti, Sultan Sallehuddin Shah inilah yang dikatakan sultan Perak terakhir yang memiliki titisan darah warisan dari kesultanan Melayu Melaka dari belah pihak lelaki. Tidak ada catatan sejarah yang menceritakan warisan keturunan Sultan Sallehuddin Shah ini. Baginda mangkat di Acheh ( ada juga yang menyatakan mangkat di Kampar ) dan sultan Perak selepas baginda adalah dari benih Melaka sebelah pihak perempuan.
Selepas kemangkatan Sultan Sallehuddin Shah di Acheh ini, negeri Perak tidak bersultan. Maka pembesar-pembesar Perak telah ke Acheh bagi memohon seorang anak raja dijadikan sultan di Perak. Seperti di dalam kes Sultan Muzaffar Shah I ( sultan Perak pertama ) dan Sultan Ahmad Tajuddin Shah ( sultan Perak ketiga ), saya pasti pembesar-pembesar Perak mahukan seorang raja berketurunan Melaka dirajakan di Perak. Sayangnya pada ketika itu satu-satunya raja berketurunan Melaka yang masih berkuasa ialah sultan Acheh sendiri iaitu Sultan Iskandar Thani ( anak sultan Pahang dinasti Melaka ). Baginda sendiri tidak berputera.
Penyelesaian kepada masalah rumit ini ialah baginda menghantar sepupu baginda sendiri yang bernama Raja Sulong untuk menjadi sultan Perak ke-10 dengan gelar Sultan Muzaffar Shah II. Sultan Muzaffar Shah II adalah seorang putera raja dari kesultanan Siak lama. Namun demikian baginda mempunyai begitu banyak susur galur keturunan kesultanan Melayu Melaka dari belah pihak perempuan. Oleh yang demikian saya yakin pembesar-pembesar Perak dapat menerima baginda tanpa kompromi. Cerita berkaitan dengan Sultan Muzaffar Shah II ini insyaAllah akan saya ulas dalam siri yang akan datang.
Dari keturunan Sultan Muzaffar Shah II inilah muncullah pula Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Yang Dipertuan Muda Raja Mansor ( sultan Perak ke-14 ) yang dimakamkan sekepuk dengan Sultan Mahmud Shah ini. Makam kedua-dua sultan terletak sebelah menyebelah. Sultan Muhammad Shah ini ialah ayahanda kepada Sultan Mahmud Shah II ( Sultan Perak ke-16 ) yang makamnya telah saya ulas dalam siri ziarah yang lepas. Saya membandingkan kronologi sejarah yang berlaku antara period masa pemerintahan Sultan Muhammad Shah ini dengan anakanda baginda iaitu Sultan Mahmud Shah II, terasa bagaikan ada satu jalan cerita yang menarik dan sukar dimengertikan.
Sultan Muhammad Shah ini pernah dikatakan berselisih faham dan berperang dengan kekanda baginda iaitu Sultan Muzaffar Shah III ( Sultan Perak ke-13 ) yang memerintah dari tahun 1728 hingga 1752. Sewaktu perselisihan ini berlaku, negeri Perak telah terbahagi kepada dua bahagian iaitu satu dibawah penguasaan Sultan Muhammad Shah dan sebahagian lagi dikuasai oleh Sultan Muzaffar Shah III. Perselisihan inilah kelak seterusnya telah menimbulkan sistem penggiliran takhta yang diamalkan oleh kesultanan Perak sehingga kini.
Apa yang menarik perhatian saya ialah pada ketika inilah bermulanya campur tangan orang-orang Bugis di negeri Perak. Sultan Muhammad Shah telah dibantu oleh Daeng Chelak ( Yan Tuan Riau ) dan telah bersemayam di Pulau Tiga. Manakala Sultan Muzaffar Shah III terpaksa berundur dan bersemayam di Sayong. Namun demikian, tidak lama selepas itu baginda berdua berbaik semula dan Sultan Muzaffar Shah III kembali menerajui takhta sebagai sultan Perak dan adindanya iaitu Sultan Muhammad Shah dilantik menjadi Raja Muda. Sultan Muhammad Shah mangkat terlebih dahulu dari kekandanya. Uniknya nama baginda tetap dianggap sebagai sultan Perak yang sah walaupun period pemerintahannya bertindih dengan period pemerintahan kekandanya Sultan Muzaffar Shah III.
Saya melihat satu perkara yang sangat unik disini melalui keterlibatan orang-orang Bugis di Perak dan pengasasan kesultanan Melayu Selangor. Sejarah membuktikan bahawa Sultan Mahmud Shah II ( sultan Perak ke-16 ) yang merupakan anakanda kepada Sultan Muhammad Shah inilah yang telah menabalkan Raja Lumu Ibni Daeng Chelak sebagai sultan Selangor yang pertama. Manakala Daeng Chelak pula bertanggungjawab membantu menaikkan Sultan Muhammad Shah sebagai sultan Perak ketika Sultan Muzaffar Shah III masih bertakhta. Semuanya bagai ada perkaitan yang tersirat dan sukar untuk diterjemahkan dengan bahasa yang terbuka. Hal ini kelak seterusnya membawa kepada beberapa krisis dan hilangnya beberapa cabang warisan dalam pewarisan takhta negeri Perak pada dekad-dekad seterusnya dan hal ini tidak akan saya bincangkan disini.
Sultan Muhammad Shah hanya berkerajaan selama 8 tahun sahaja iaitu dari tahun 1742 hingga 1750. Namun demikian empat orang putera baginda berjaya menempatkan diri dalam senarai sultan pemerintah Perak bermula dari Sultan Iskandar Zurkarnain ( Sultan ke-15 ), Sultan Mahmud Shah II ( Sultan ke-16 ), Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda ( Sultan ke-17 ) dan Sultan Ahmaddin Shah ( Sultan ke-18 ). Sultan-sultan pemerintah Perak sehingga ke hari ini jika dilihat dari segi nasab keturunannya bolehlah dikatakan berketurunan dari Sultan Muhammad Shah ini menerusi warisan Sultan Ahmaddin Shah tidak kiralah dari sebelah pihak lelaki ataupun perempuan. Wallahualambissawab.
Saya memegang batu nisan kaku kedua-dua Almarhum sultan ini dengan perasaan yang berbelah bahagi. Entah kenapa perasaan saya begitu kelam dan gelap apabila cuba merungkai kisah kedua-dua almarhum sultan ini. Inilah uniknya negeri Perak Darul Ridzuan yang bersejarah ini. Warisan Melaka yang kuat menyelubungi kesultanannya menjadikan ia sebagai sebuah negeri tua yang mengagumkan. Melaka, Acheh, Siak, dan Bugis silih berganti mempengaruhi perjalanan sejarahnya yang panjang.
Saya duduk sebentar di kepuk makam dan memerhatikan Hidayat yang sudah bergerak ke pinggir sungai Perak. Jika tadi di makam Syed Hussain Yamani, saya bagaikan berteka teki dengan riwayat hidupnya namun kini di makam dua orang sultan berlainan warisan ini pula fikiran saya bagaikan dipalu-palu dengan fakta, cerita dan dogengan yang terlalu penuh. Rasanya mahu sahaja saya bertanya kepada sungai Perak yang sudah terlalu tua itu segala cerita yang selama ini dipendam di dasarnya yang keruh itu. Biar segala cerita-cerita yang lama itu disuratkan kembali bagi mencari benar atau tidaknya.
Mentari petang yang semakin meredup masih mampu membuatkan suasana membahang dan peluh sudah mula membasahi kepala saya. Saya tahu masa untuk bergerak sudah hampir tiba. Saya menjerit memanggil Hidayat yang masih leka di pinggir sungai. Dia berlari menuju ke tempat meletakkan motosikal buruk kami. Sewaktu bergerak mahu keluar dari kawasan banggunan kepuk makam saya keluar secara berundur. Terasa lucu pula melakukan sedemikian. Hidayat ketawa terbahak-bahak melihat kelakuan saya. Tidak ketahuan kenapa saya menjadi sedemikian rupa... saya sendiri tersenyum sambil menepuk-nepuk dahi !
Kami keluar ke jalan besar dan mula meneruskan perjalanan. Sepanjang perjalanan fikiran saya bungkam tetapi berlainan pula dengan Hidayat. Mulutnya tidak berhenti-henti menyanyi lagu yang saya sendiri tidak ketahuan benar atau tidak liriknya. Saya mengambil keputusan untuk ke makam dua orang sultan ini pada waktu yang lain. Ia keputusan yang baik sebelum mendapat ilham menulis !
Dua makam sultan pemerintah Perak yang dimakamkan sekepuk telah saya tinggalkan. Apa yang pasti zuriat warisan dua Muzaffar yang berbeza ini benar-benar membuatkan saya mengetahui bahawa warisan Seguntang sememangnya kukuh berakar di Perak Darul Ridzuan !
Subscribe to:
Posts (Atom)


