Sunday 4 November 2012

yang baru dalm salsilah

YM Tok Seri Indera Jaya YM Raja Shahbudin b. Raja Dagang b. Tengku Busu merupakan inisiatif dan kajian bersifat peribadi yang dijalankan selama sebelas tahun yang lalu. Penulisannya telah dimulai sejak tahun 1997 lagi. Tujuan utama penulisan salasilah ini adalah untuk mengetahui secara jelas tentang asal-usul jurai keturunan ini di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli keluarga YM Tok Seri Indera Jaya Raja Shahbudin b. Raja Dagang b. Tengku Busu yang tinggal di seluruh pelosok tanah air.

Secara jujur, penulisan dan penyusunan salasilah keluarga ini amatlah rumit kerana tiada sebarang usaha awal penyusunan salasilah tersebut oleh generasi terdahulu di samping kesukaran memperoleh maklumat secara bertulis. Kajian dan pengumpulan maklumat-maklumat berkaitan dengan salasilah keluarga ini boleh dibahagikan kepada 2 kaedah, iaitu menggunakan kaedah temu bual dengan kaum keluarga dan kaedah kajian bersifat kepustakaan. Berkenaan dengan kaedah temu bual, saya bersama-sama bapa saya YM Raja Baharudin b. Raja Lope Zainuddin telah menziarahi kaum keluarga di merata-rata tempat semata-mata untuk mendapatkan apa sahaja maklumat lisan berkenaan salasilah keluarga. Setiap maklumat yang diperolehi akan direkodkan serta diberi penilaian semula. Di samping itu, saya juga bertungkus-lumus mencari maklumat-maklumat bertulis daripada rekod-rekod rasmi kerajaan di Arkib Negara Malaysia (Kuala Lumpur), buku-buku ilmiah, internet dan apa-apa sahaja bahan bertulis tentang sejarah dan salasilah raja-raja di kawasan Sumatera (Indonesia) dan Malaysia. Hal ini bertujuan untuk memastikan maklumat-maklumat dalam salasilah ini sahih dan tidak dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai autoriti.

Sebarang penulisan dan penyusunan salasilah ini tidak akan dapat disempurnakan sekiranya tanpa sebarang usaha dan bantuan daripada pihak-pihak tertentu. Justeru, terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan kepada Y. Bhg. Mulia Almarhum Tan Sri Dato’ Seri Dr. Raja Ahmad Noordin al-Haj b. Tok Seri Indera Jaya Raja Shahbudin kerana sudi memberi sedikit sebanyak maklumat serta menyokong penuh usaha penulisan dan penyusunan salasilah ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih saya kepada isteri beliau, Y. Bhg. Puan Seri Datin Seri Hjh. Saliah bt. Abdul Wahab kerana sudi membawa saya bersama bapa saya menziarahi makam moyang saya (YM Tok Seri Indera Jaya Raja Shahbudin b. Raja Dagang) di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Di samping itu, saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ayahanda YM Raja Baharudin b. Raja Lope Zainuddin yang bertungkus lumus membawa saya bertemu dengan ahli-ahli keluarga kami serta memberi maklumat awal berkaitan dengan salasilah keluarga kami. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Almarhum YM Raja Hj. Abd. Hafidz b. Raja Hj. Yeop Shaharuddin, Almarhum YM Raja Kamaruddin b. Tok Seri Indera Jaya Raja Shahbudin dan Allahyarhamah Hjh. Puteh bt. Ahmad (Opah) yang telah banyak menghulurkan bantuan khususnya dalam menyampaikan maklumat-maklumat lisan tentang salasilah keluarga ini. Selain itu, saya juga amat terhutang budi kepada YM Raja Mushar b. Raja Ahmad, YM Raja Saidatul Zahariah bt. Raja Lope Shaharuddin, dan YM Raja Saidatul Zaharian bt. Raja Lope Shaharuddin kerana turut menyampaikan serta menyediakan maklumat lisan dan bertulis kepada saya tentang hubungan keluarga mereka dengan keluarga YM Tok Seri Indera Jaya Raja Shahbudin. Sekalung penghargaan juga saya tujukan kepada YM Raja Saidatul Zaharian yang telah sudi meminjamkan saya sekeping gambar YM Tok Seri Indera Jaya Raja Shahbudin untuk dicetak semula bagi tatapan kami sekeluarga dan generasi akan datang. Di samping itu, saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ayah Man (En. Norman Tan Sri Dato’ Seri Dr. Raja Ahmad Noordin al-Haj) yang telah bertungkus lumus merekodkan maklumat salasilah keluarga ini ke dalam laman web Geni.com, mengirimkan laman-laman web berkenaan Kerajaan Siak Seri Inderapura kepada saya untuk tujuan kajian di samping mengambil berat tentang perkembangan penulisan salasilah ini. Hanya ALLAH S.W.T. sahajalah yang akan membalas budi baik kalian. Tidak dilupakan juga kepada seluruh kaum keluarga YM Tok Seri Indera Jaya Raja Shahbudin yang telah sudi menghulurkan bantuan dan sokongan sepanjang usaha murni ini dilaksanakan.

Saya sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja daripada mana-mana generasi keturunan YM Tok Seri Indera Jaya Raja Shahbudin b. Raja Dagang b. Tengku Busu untuk menjadikan maklumat salasilah ini sebagai rujukan utama ketika mereka merekodkan salasilah mereka dan turut serta menyambung usaha murni ini pada masa hadapan untuk tatapan generasi akan datang.

Sekian, wassalam.

No comments:

Post a Comment