Sunday 7 October 2012

Belanda Menawan Melaka Daripada Portugis (1606 – 1641)

Pihak Belanda yang mempunyai hubungan yang baik dengan Portugis, merupakan pelanggan utama mereka dalam rempah ratus dan lain-lain barangan dari timur, yang diedarkan ke seluruh bahagian utara benua Eropah. Bagaimanapun, pada tahun 1580 negara Portugal bergabung dengan negara Sepanyol di bawah pemerintahan Raja Philip II, yang merupakan seteru utama Belanda.
Baginda telah melarang pihak Belanda dari memasuki pelabuhan yang dikuasai Portugis. Dengan sebab itu, pihak Belanda terpaksa mendapatkan bekalan mereka dari sumber yang lain dan mengambil keputusan untuk pergi sendiri ke timur untuk melenyapkan penguasaan pihak Portugis dalam perdagangan rempah ratus. Pihak Portugis yang berpengkalan di Goa dan Melaka mengadakan beberapa cubaan untuk menghalang kemasukan kapal-kapal Belanda ke Asia Timur, namun tidak berjaya. Kapal-kapal mereka tidak dapat menyaingi kapal-kapal Belanda yang lebih baru dan mempunyai kelengkapan yang lebih baik. Tambahan pula, pemerintah-pemerintah di Indonesia menyambut baik pihak Belanda dengan harapan persaingan sengit di antara Belanda dan Portugis akan menaikkan lagi harga pasaran barangan keluaran negara mereka dan menghasilkan kutipan cukai yang lebih tinggi.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiw6_l1kveEuW6WnCaZ91KSn5aMSXtTaqrv2MleTeil1jxFiixAzuoHZdqvVTHtUs19EhTMRwM7E5KjkIaoepcIMWEU-obzMEf1KRkcWpglCrMemk5apISpFrJs39EQj2ojhmCrOalzZac/s400/Picture36+V.O.C+copper+Doit.jpg
Pihak Belanda dapat menyaingi Portugis dengan mudah kerana mereka mempunyai pelayar yang lebih mahir dan kapal-kapal yang lebih hebat, yang membolehkan mereka membawa rempah ratus ke Eropah dengan kos yang lebih murah dari pihak Portugis. Pada tahun 1602, Syarikat Hindia Timur Bersekutu Belanda ditubuhkan untuk menyatukan kesemua syarikat Belanda di Asia demi kebaikan bersama pedagang Belanda. Syarikat tersebut dengan kebenaran kerajaan Belanda, telah memonopoli perdagangan di Asia dan berkuasa untuk membuat perjanjian dan pakatan dengan pemerintah tempatan, menakluki jajahan dan membina kubu pertahanan. Semua pengkalan Belanda yang berada di India Timur telah diambil alih oleh Syarikat tersebut.
Pada tahun 1605, angkatan bersenjata Syarikat ini telah berjaya menawan kubu Portugis di Ambon dan menjadikan pulau tersebut sebagai jajahan pertamanya di kepulauan Melayu. Setelah berjaya menawan Ambon dengan mudah, Belanda yakin bahawa mereka juga boleh menawan Melaka. Pada tahun 1606, pihak Belanda membuat satu perjanjian dengan Sultan Johor dengan tujuan untuk menawan Melaka. Walau bagaimanapun, serangan pakatan Belanda-Melayu telah gagal dan Melaka terus berada di bawah jajahan Portugis selama 35 tahun yang seterusnya. Belanda mempunyai satu matlamat utama untuk menawan Melaka. Mereka mahu Betawi menjadi satu-satunya pusat perdagangan barangan timur dan untuk mencapai matlamat tersebut, mereka perlu menghentikan perdagangan Portugis di Melaka. Oleh itu, di antara tahun 1619 dan tahun 1640, pihak Belanda dengan kekuatan angkatan laut mereka telah berjaya mengalihkan kebanyakan perdagangan dari Melaka ke Betawi. Namun, pihak Belanda khuatir tentang kemungkinan Melaka jatuh ke tangan kuasa Eropah yang lain yang boleh memberi persaingan kepada Betawi. Satu-satunya cara untuk menghindari perkara ini daripada berlaku ialah dengan menawan Melaka dan menjadikannya sebuah wilayah Betawi.
http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/d/dc/Stad_en_Kasteel_Malacca.JPG/480px-Stad_en_Kasteel_Malacca.JPG
Pihak Belanda membuat serangan yang berterusan ke atas kapal-kapal Portugis pada awal kurun ke-17 dan pada tahun 1606, mereka telah melancarkan satu serangan ke atas Melaka, namun gagal. Pada tahun 1640, pihak Belanda dengan pakatan bersama pihak Melayu telah mengepung kota Melaka dan menghalang kemasukan bekalan makanan. Orang-orang dari Johor mengawal bahagian sungai dan perkampungan di sekitar kota manakala pihak Belanda mengawal laluan masuk dari arah laut. Pihak Belanda juga membina benteng yang mempunyai beberapa pucuk meriam yang dihalakan ke arah kubu pertahanan Portugis di bahagian timur, supaya mereka boleh membedil pihak Portugis. Musim hujan pun bermula dan banjir yang berlaku menyebabkan kawasan rendah di mana pihak Belanda berpengkalan ditenggelami air. Wabak malaria juga merebak di kalangan tentera Belanda dan Portugis, membunuh ramai daripada mereka termasuklah dua orang nakhoda Belanda dan seterusnya melemahkan semangat perjuangan kedua belah pihak.

No comments:

Post a Comment