Sunday 7 October 2012

Portugis menyerah kalah kepada Belanda (1641)

Pada jam 10 pagi, 14 Januari 1641, Melaka telah jatuh ke tangan Belanda. Komandan Belanda, Willemson Kaatokoe, yang ditempatkan di sebuah pengkalan di Kampung Keling, telah memasuki kubu untuk membincangkan tentang peralihan kuasa dan syarat-syarat penyerahan dengan Gabenor Portugis, Dom Manuel de Souza Coutinho.
Beliau bersetuju untuk membebaskan semua tawanan Portugis berserta barangan milik mereka setelah mendengar rayuan daripada seorang paderi. Hanya pasukan tentera diraja Portugis ditawan dan dibawa ke Betawi. Gabenor terakhir Portugis mati dua hari selepas kemenangan pihak Belanda. Belanda telah mengepung Melaka selama lapan bulan dan sepanjang tempoh tersebut hampir 7,000 penduduk Melaka terbunuh dan 10,000 lagi lari meninggalkan Melaka. Pihak Belanda kehilangan seramai 1,500 tentera termasuk tiga orang nakhoda kerana masalah kesihatan. 200 orang tentera Portugis terbunuh dan 500 lagi mati akibat gejala malaria. Kekalahan Portugis ini menandakan berakhirnya pemerintahan mereka di Melaka.
Melaka di bawah Kuasa Belanda (1641-1824)
Selepas ditawan, Melaka berfungsi sebagai pengkalan untuk menghalang musuh Belanda dari memasuki Selat Melaka dan juga merupakan pusat pengumpulan hasil dari Semenanjung Tanah Melayu, terutamanya bijih timah. Belanda tidak memberi tumpuan kepada Tanah Melayu dan sepanjang pemerintahan mereka, kerajaan Johor-Riau, yang merupakan sekutu Belanda, dibiarkan menjadi lemah. Sehingga tahun 1800, kesemua negeri-negeri yang bernaung di bawah kerajaan ini keluar dari naungan Sultan Johor dan mengisytiharkan negeri mereka merdeka. Sebagai ahli perniagaan dan pedagang, orang Belanda tidak mempunyai rasa belas kasihan terhadap pesaingnya. Oleh kerana sikap yang demikian, pedagang-pedagang China mula mengubah haluan perdagangan mereka dan hasilnya, kemajuan yang sekian lama melimpahi Melaka mula merosot begitu juga jumlah penduduknya.
Kebebasan Beragama
Kebebasan beragama merupakan faktor utama yang mengekalkan keharmonian sosial semasa pemerintahan Kesultanan Melayu. Sebaliknya, Portugis mengharamkan sebarang amalan agama selain daripada Katolik Rumawi. Pihak Belanda pula tidak begitu tegas tentang anutan agama penduduk dan mengamalkan toleransi dalam perkara ini. Walau bagaimanapun, mereka menentang amalan agama Katolik Rumawi sehingga tahun 1695, kerana sistem yang diamalkan di Eropah, menggabungkan urusan kerajaan dengan ajaran agama.
Anda mungkin juga meminati:

No comments:

Post a Comment