Orang Bugis mula datang ke Tanah Melayu
dengan jumlah yang besar pada awal kurun ke-18. Pihak Belanda tidak
campur tangan dalam urusan orang Bugis dan membiarkan Kerajaan
Johor-Riau jatuh ke tangan mereka. Hanya apabila orang Bugis mula
memberi saingan yang hebat dalam perdagangan bijih timah, barulah pihak
Belanda mengambil tindakan terhadap mereka.
Oleh yang demikian, pada tahun 1784
Belanda menawan Riau, pusat kerajaan tersebut dan menjadikan kerajaan
Johor-Riau sebagai jajahan negara Belanda. Peperangan yang berlaku di
antara Bugis dan Belanda dari tahun 1755 hingga tahun 1758 dan dari
tahun 1783 hingga tahun 1784 bukan hanya melemahkan kuasa dan pengaruh
Belanda di kawasan tersebut, malah telah menyebabkan kekayaan Syarikat
Hindia Timur Belanda merosot. Walaupun Melaka masih lagi menarik
perhatian para pedagang, Riau telah mengambil alih tempat sebagai pintu
masuk ke Selat Melaka. Pihak Inggeris pula sudah mula tiba ke kawasan
ini sebagai satu kuasa baru, terutamanya selepas peperangan keempat
mereka dengan Belanda di antara tahun 1781 hingga tahun 1783. Mereka
juga berjaya mempengaruhi beberapa pemerintah tempatan untuk menyebelahi
mereka dan telah membuka sebuah pengkalan di Pulau Pinang pada tahun
1786.
Golongan Revolusi Perancis yang telah
mengisytiharkan perang dengan Inggeris pada tahun 1793, telah diundang
oleh Pergerakan Patriotik Revolusi Belanda yang dikenali sebagai “The
Velvet Revolution” pada tahun 1795 untuk menyerang Raja Belanda, William
V of Orange, yang meminta perlindungan Inggeris. Oleh kerana itu,
seluruh jajahan Belanda di seberang laut terpaksa mengambil langkah
untuk mempertahankan diri mereka sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan
pusat. Justeru, pihak Inggeris memutuskan untuk mengambil alih seluruh
jajahan Belanda bagi mengelakkan mereka dirampas oleh pihak Perancis.
Pada 15 Ogos 1795, angkatan Inggeris
telah tiba di Melaka dan mengambil alih kuasa dari tangan Gabenor
Belanda, Abrahamus Couperus. Walaupun berlaku tentangan terhadap
penyerahan Melaka kepada Inggeris, ianya tidak mengakibatkan sebarang
pergeseran di antara mereka. Melaka terus ditadbir oleh pegawai Belanda
di bawah pengawasan seorang Residen Inggeris.
Berdasarkan Perjanjian Vienna pada tahun
1814, Melaka telah dikembalikan kepada Belanda pada 21 September 1818,
namun Melaka diserahkan semula kepada pihak Inggeris pada 17 Mac 1824
berikutan Perjanjian London. Perjanjian ini membolehkan kedua-dua kuasa
barat ini menumpukan perhatian mereka kepada kawasan jajahan
masing-masing.
Robohnya Kota Melaka
Pihak Inggeris di Pulau Pinang
mengetahui bahawa Melaka perlu diserahkan kembali kepada Belanda apabila
tamat perang. Namun, Inggeris enggan memulangkan Melaka kerana khuatir
ianya akan mengganggu pembangunan penempatan baru mereka di Pulau
Pinang. Oleh yang demikian, mereka bertindak merosakkan nama dan
pengaruh Melaka dengan mengalihkan tumpuan perdagangan dari Melaka ke
Pulau Pinang, merobohkan kubu dan kota Melaka serta memindahkan 15,000
orang penduduknya ke Pulau Pinang. Dengan cara ini, Melaka tidak lagi
dapat menyaingi Pulau Pinang dari segi perdagangan apabila ia diserahkan
semula kepada pihak Belanda. Seterusnya, jika terdapat keperluan untuk
menyerang Melaka pada masa akan datang, tiada lagi kubu tersebut untuk
menghalang mereka.
Gabenor Pulau Pinang telah mengarahkan
Kapten William Farquhar untuk memusnahkan kubu Melaka pada tahun 1807
dan hampir keseluruhan kubu tersebut dimusnahkan pada tahun 1808. Walau
bagaimanapun, Stamford Raffles, yang merupakan pembantu setiausaha
negeri Pulau Pinang telah tiba di Melaka untuk bercuti. Setelah mendapat
kebenaran daripada Lord Minto, Gabenor Jeneral India, beliau sempat
menghentikan kerja-kerja merobohkan kubu Melaka serta pemindahan
penduduk Melaka yang berterusan. Raffles mengagumi kota lama Melaka
kerana beliau mempunyai minat yang mendalam terhadap sejarah,
kebudayaan, bangsa dan bahasa Melayu. Beliau juga berjaya menyelamatkan
pintu gerbang kubu Melaka dari diroboh dan ia masih kekal hingga ke hari
ini. Usaha merobohkan kubu Melaka yang melibatkan beberapa ratus orang
pekerja telah menelan belanja sebanyak 70,000 pound sterling.
Kemerosotan dan Kejatuhan Melaka
Ekonomi Melaka mula merosot di sekitar
pertengahan zaman penjajahan Belanda, di mana Melaka hanya dijadikan
sebuah gudang untuk Betawi. Penyerahan Melaka kepada Inggeris
memburukkan lagi keadaan kerana polisi mereka pada waktu itu adalah
untuk menjatuhkan Melaka agar ia tidak mampu bersaing dengan Pulau
Pinang. Akan tetapi, apabila Melaka diserahkan kepada Inggeris buat kali
kedua pada tahun 1824, pihak Inggeris cuba membangunkan kota tersebut
namun usaha itu tidak begitu berjaya. Kawasan negeri Melaka menjadi
semakin kecil dan pengeluaran sumber asli seperti emas dan bijih timah
juga turut berkurangan. Kerajaan Inggeris telah menghadkan pembangunan
Melaka dan penduduk tempatan pula tidak mempunyai sumber untuk mengekang
kemerosotan ekonomi Melaka. Pelabuhan Melaka tidak lagi menjadi pilihan
kapal-kapal dagang setelah kehilangan daya tarikannya.
Negeri-negeri Selat (1826)
Pada tahun 1826, Pulau Pinang termasuk
Seberang Perai, Melaka dan Singapura telah digabungkan untuk membentuk
Negeri-negeri Selat. Pulau Pinang, yang merupakan penempatan terawal
Inggeris telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran. Lama kelamaan,
kepentingan Melaka semakin luput manakala Pulau Pinang pula semakin
membangun. Namun begitu, kemajuan di Singapura juga telah meningkat dari
segi jumlah penduduk dan perdagangan, lantas pusat pentadbiran
dipindahkan ke Singapura pada tahun 1832. Negeri-negeri Selat berada di
bawah penguasaan Gabenor Jeneral di Kalkatta. Walau bagaimanapun, pada
tahun 1867, Negeri-negeri Selat diasingkan dari penguasaan Inggeris di
India dan telah dijadikan sebuah Koloni Diraja secara langsung di bawah
penguasaan Pejabat Tanah Jajahan di London.
Anda mungkin juga meminati:
No comments:
Post a Comment