Pada jam 10 pagi, 14 Januari 1641, Melaka telah jatuh ke tangan Belanda. Komandan Belanda, Willemson Kaatokoe,
yang ditempatkan di sebuah pengkalan di Kampung Keling, telah memasuki
kubu untuk membincangkan tentang peralihan kuasa dan syarat-syarat
penyerahan dengan Gabenor Portugis, Dom Manuel de Souza Coutinho.
Beliau bersetuju untuk membebaskan semua
tawanan Portugis berserta barangan milik mereka setelah mendengar
rayuan daripada seorang paderi. Hanya pasukan tentera diraja Portugis
ditawan dan dibawa ke Betawi. Gabenor terakhir Portugis mati dua hari
selepas kemenangan pihak Belanda. Belanda telah mengepung Melaka selama
lapan bulan dan sepanjang tempoh tersebut hampir 7,000 penduduk Melaka
terbunuh dan 10,000 lagi lari meninggalkan Melaka. Pihak Belanda
kehilangan seramai 1,500 tentera termasuk tiga orang nakhoda kerana
masalah kesihatan. 200 orang tentera Portugis terbunuh dan 500 lagi mati
akibat gejala malaria. Kekalahan Portugis ini menandakan berakhirnya
pemerintahan mereka di Melaka.
Melaka di bawah Kuasa Belanda (1641-1824)
Selepas ditawan, Melaka berfungsi
sebagai pengkalan untuk menghalang musuh Belanda dari memasuki Selat
Melaka dan juga merupakan pusat pengumpulan hasil dari Semenanjung Tanah
Melayu, terutamanya bijih timah. Belanda tidak memberi tumpuan kepada
Tanah Melayu dan sepanjang pemerintahan mereka, kerajaan Johor-Riau,
yang merupakan sekutu Belanda, dibiarkan menjadi lemah. Sehingga tahun
1800, kesemua negeri-negeri yang bernaung di bawah kerajaan ini keluar
dari naungan Sultan Johor dan mengisytiharkan negeri mereka merdeka.
Sebagai ahli perniagaan dan pedagang, orang Belanda tidak mempunyai rasa
belas kasihan terhadap pesaingnya. Oleh kerana sikap yang demikian,
pedagang-pedagang China mula mengubah haluan perdagangan mereka dan
hasilnya, kemajuan yang sekian lama melimpahi Melaka mula merosot begitu
juga jumlah penduduknya.
Kebebasan Beragama
Kebebasan beragama merupakan faktor
utama yang mengekalkan keharmonian sosial semasa pemerintahan Kesultanan
Melayu. Sebaliknya, Portugis mengharamkan sebarang amalan agama selain
daripada Katolik Rumawi. Pihak Belanda pula tidak begitu tegas tentang
anutan agama penduduk dan mengamalkan toleransi dalam perkara ini. Walau
bagaimanapun, mereka menentang amalan agama Katolik Rumawi sehingga
tahun 1695, kerana sistem yang diamalkan di Eropah, menggabungkan urusan
kerajaan dengan ajaran agama.
Anda mungkin juga meminati:
No comments:
Post a Comment