Selepas kemangkatan Sultan Alauddin
Riayat Syah pada tahun 1488, anakandanya Raja Mahmud ditabalkan sebagai
pemerintah kelapan Melaka. Baginda menggunakan gelaran Sultan Mahmud
Syah dan masih muda ketika ditabalkan sebagai pemerintah Melaka. Oleh
yang demikian, Melaka diletakkan di bawah pentadbiran Tun Perak, yang
dibantu oleh pembesar-pembesar yang lain. Pembesar-pembesar Melaka
terdiri daripada Tun Tahir Seri Nara Diraja sebagai Bendahari, Tun
Mutahir sebagai Temenggung Seri Maharaja yang bertanggungjawab atas
keselamatan dalam negeri, Hang Tuah sebagai Laksamana yang memimpin
angkatan laut Melaka dan Tun Kerutup Seri Bija Diraja sebagai pemerintah
angkatan darat.
Bendahara Paduka Tun Perak meninggal
dunia pada tahun 1498 setelah berkhidmat di bawah empat orang Sultan
Melaka, iaitu Sultan Muzaffar, Sultan Mansur, Sultan Alauddin dan Sultan
Mahmud. Sultan Mahnud Syah kemudian melantik Tun Perpatih Putih, adik
kepada Bendahara Paduka Tun Perak sebagai Bendahara Melaka yang baru dan
dikenali sebagai Bendahara Putih.
Apabila Sultan Mahmud meningkat dewasa,
baginda mengahwini saudara sepupunya, anakanda kepada Sultan Pahang,
Sultan Muhammad Syah. Mereka dikurniakan dua orang puteri dan seorang
putera yang bernama Raja Ahmad. Apabila Bendahara Tun Perpatih Putih
meninggal dunia, Sultan Mahmud melantik Tun Mutahir Temenggung Seri
Maharaja, adik kepada ibundanya sebagai Bendahara Melaka yang baru
dengan gelaran Bendahara Seri Maharaja. Anaknya Tun Hasan pula dilantik
menjadi Temenggung dengan gelaran Temenggung Tun Hasan.
Kota Melaka semakin berkembang maju
dengan kedatangan pedagang-pedagang asing selepas perlantikan Tun
Mutahir. Ini adalah kerana kebijaksanaan dan kelancaran pentadbiran
Bendahara Seri Maharaja dan kebolehannya menarik pedagang-pedagang asing
untuk datang ke Melaka.
Apabila isteri Sultan Mahmud, puteri
Pahang, mangkat, baginda berhasrat untuk mengahwini seorang puteri yang
rupawan yang dipercayai tinggal di Gunung Ledang. Puteri itu telah
menetapkan beberapa syarat yang perlu ditunaikan oleh Sultan Mahmud
sebelum baginda dapat mengahwininya dan syarat-syaratnya termasuklah
sejumlah besar emas dan perak serta semangkuk darah Raja Ahmad, putera
Sultan yang masih kecil. Oleh kerana tidak sanggup memenuhi syarat yang
terakhir itu, Sultan telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan
hasratnya mengahwini puteri tersebut. Walau bagaimanapun, sukar untuk
dipastikan samada peristiwa ini benar-benar berlaku atau hanya sekadar
satu lagenda. Namun, kisah ini kerap diceritakan secara turun temurun di
kalangan orang-orang Melayu Melaka dan Johor.
Semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah,
Laksamana Hang Tuah telah meninggal dunia pada usia yang lanjut. Beliau
telah diberikan acara pengkebumian rasmi dan disemadikan di Tanjung
Keling, Melaka. Sultan kemudiannya melantik Khoja Hasan, menantu kepada
Hang Tuah sebagai Laksamana Melaka yang baru dan dikenali sebagai
Laksamana Khoja Hasan.
Di sekitar tahun 1500, Melaka masih
berada di kemuncak kekuasaan dan kegemilangannya. Kota Melaka menjadi
pusat empayar Melayu yang unggul dan juga pusat perdagangan bagi kain
dari India, tembikar dan sutera dari China dan rempah ratus dari
kepulauan Melayu, serta markas aktiviti pengembangan Islam di kepulauan
Melayu.
Pada tarikh 11 September 1509, semasa
pemerintahan Sultan Mahmud dan Tun Mutahir sebagai Bendahara, satu
angkatan Portugis yang terdiri daripada lima buah kapal besar yang
diketuai oleh Diego Lopez de Sequeira telah mendarat di pelabuhan
Melaka. Kedatangan orang-orang Portugis ini membawa petanda buruk kerana
sejurus kemudian bermulalah keruntuhan dan kejatuhan Kesultanan Melayu
Melaka.
No comments:
Post a Comment