James Brooke, seorang tentera, pedagang
dan penjelajah, tiba di Singapura pada bulan Mei 1839 dalam
perjalanannya untuk menjelajah Borneo. Sejurus sebelum ketibaannya,
beberapa orang pelayar British telah terkandas di Brunei dan dilayan
dengan baik oleh seorang kerabat kepada Sultan Brunei iaitu Pangeran
Muda Hashim. Gabenor Bonham dari Negeri-negeri Selat dan para pedagang
British telah meminta Brooke membawa surat penghargaan dan hadiah kepada
Pangeran Muda Hashim.
Pada ketika itu, Pangeran Muda Hashim
berada di Sarawak bagi menentang satu pemberontakan terhadap Sultan
Brunei. Sultan telah meminta Brooke memberikan bantuan kepada Pangeran
Muda Hashim dan beliau berjaya menamatkan pemberontakan tersebut.
Sebagai “penghargaan”, Sultan Brunei telah melantik Brooke sebagai Raja
Sarawak pada bulan September 1841. Raja Brooke berusaha keras untuk
menghapuskan ancaman lanun dan membawa ketenteraman di kawasan
persisiran utara Borneo. Ekoran dari usaha beliau, jumlah penduduk telah
meningkat dua kali ganda dalam beberapa tahun pentadbirannya. Apabila
arang batu ditemui di Labuan, Raja Brooke menasihatkan kerajaan British
mengambil Labuan daripada tangan Sultan Brunei supaya ia boleh dijadikan
pengkalan bekalan arang batu untuk kapal-kapal wap yang berlayar di
lautan timur.
Pada tahun 1847, James Brooke telah
dianugerahkan darjah kesatria dan dilantik sebagai Gabenor Labuan dan
Ketua Konsol British di Borneo Utara. Beliau bersara pada tahun 1863 dan
kembali menetap di England. Selepas kematiannya pada tahun 1868, anak
saudaranya telah menggantikan beliau sebagai Raja Sarawak. Pada tahun
1888, Sarawak telah dijadikan sebuah negeri naungan British. Dinasti
Brooke memerintah Sarawak selama seratus tahun dari tahun 1841 hingga
tahun 1941 apabila Jepun menjajahi Sarawak. Sarawak diserahkan kepada
pihak British oleh Sir Charles Vyner Brooke pada 1 Julai 1946 apabila ia
dijadikan sebuah koloni diraja.
Anda mungkin juga meminati:
No comments:
Post a Comment