Parti Islam Semalaysia (PAS)
Kemunculan PAS dalam
sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila
para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah
persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya
(PAS) pada 24 November 1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di
Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit
permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya
berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di
negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dalam politik negara bermula
sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya
menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.
Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun
di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan.
Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui
para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Ksedaran
yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan
atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan
terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika
itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan
Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang
berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan
Darurat pada Jun 1948.
Para ulamak mengambil beberapa sikap
selepas tragedi darurat ini. Ada yang ’tawakuf’ daripada politik
kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi
pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah
mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis UMNO bagi membolehkan
isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Ihya Assyariff,
Gunung Semanggol telah menyertai UMNO pada 1950 dan dilantik mengetuai
Bahagian Agama dan Pelajaran UMNO. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan
beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan.
Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan”,
Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah
yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu
ulamak telah muak dengan sikap UMNO yang mengabaikan isu pemurtadan
Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam
satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran UMNO.
Sheikh Abdullah Fahim,Antara pengasas Persatuan Ulamak
Dalam konflik pelbagai yang dihadapi
oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju
kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk
menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai
telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah”
bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951.
Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam
yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah
membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak
bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan
manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.
Semenjak itulah, PAS muncul sebagai
sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara,
kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan
pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk
beberapa kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di
bawah kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias,
PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS
menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak
supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka.
Dr. Burhanuddin Al Helmy,Pelopor Perubatan Homeopathy dan Bekas Pimpinan PAS
Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy
mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan
sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih
kosong’ dari matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan
ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,
Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci
Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959
telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya
dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul
Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai
Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri
Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan
al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah
dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di
Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada
akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang
diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di
negara ini.
Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung
1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan
ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik,
keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik.
Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan
Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada
1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara
Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam
masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa
kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan
Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13
Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini,
Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS
semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.
Datuk Asri Muda,Pemimpin PAS yang bertanggungjawab membawa PAS ke dalam BN
PAS memasuki era baru dalam politik
negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin
kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan
Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah
membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama
mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar
dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi
ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong
telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan
PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh
musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga
terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak
Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja
disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.
Setelah melalui tempoh yang mencabar
antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan
perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis
kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada
Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS
bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era
kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas
perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap
kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun
melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina
jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan
Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh
kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar
Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta
penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.
Us. Fadzil Noor memimpin perubahan besar dalam PAS Beliau membawa PAS ketengah-tengah masyarakat.
Paling mencabar pada era kepemimpinan
ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984,
1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka
PAS-UMNO pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali
pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada
1987, UMNO pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut
diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan
kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan
Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan.
Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik
Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan
Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar ’Membangun Bersama Islam’, PAS
berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang
berada dalam bidang kuasana.
Ku Li keluar daripada UMNO lalu menubuhkan Semangat 46 dan bekerjasama dengan PAS dalam pilihan raya
Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan
Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan
Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno
sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar
Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin
Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan
kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999.
Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden
PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk
mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah
PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula
pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam
kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno
dalam menguasai politik orang Melayu Islam.
Tuan Guru Hj. Nik Aziz,Ulama’ dan Pemimpin yang disegani.
Tuan Guru Hj Abdul Hadi
Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu:
kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang).
Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu:
- fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958),
- fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan
- fasa pengukuhan idelogi (1982-1995).
Anda mungkin juga meminati:
No comments:
Post a Comment